About Me

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Allah's servant.

Thursday, February 5, 2009

~baca dari older post (bukan banyak pun), dari atas ke bawah tau. terima kasih~
Alhamdulillah, apa yang ingin saya sampaikan harap sampai ke lubuk hati pembaca. Hidup kita sering dihimpun seribu satu macam perkara, tambah2 lagi sebagai pelajar. Tidak dapat dinafikan tanggungjawab dan komitmen yang perlu kita pikul setiap hari membuatkan kita 'agak jauh' daripada Pencipta kita yang esa. Saya, hanyalah manusia hina yang punya banyak kelemahan. Bukan ingin berdiri selaku 'penasihat' atau apa2. Tapi sekadar berkongsi apa yang pernah saya alami. Kehilangan orang yang pernah hidup bersama kita bukanlah satu perkara yang mudah. Ia bukanlah perkara yang pernah kita dambakan dan gambarkan selama ini. Kejutan yang berlaku kurang dari sekelip mata.

Jatuhnya saya semenjak berita kematiaanya, hanya Tuhan yang tahu. Orang di sekeliling ada yang bersimpati, ada yang cuba menghiburkan hati, saya tahu. Terima kasih buat semua. Namun, ada tika tawa dan senyum yang diukir terasa amat pahit dan pedih walau tak terlihat di mata. Mereka yang melihat tawa itu ada yang berasa lega, sekurang-kurangnya saya tidak begitu ‘menyeksa’ diri sendiri. Ye lah, untuk apa kita libatkan orang lain untuk sesuatu yang mereka tidak perlu? Semangat dan impian yang sama2 kami pintal dulu, runtuh berkecai. Semangat saya untuk teruskan belajar ada sedikit tergugat namun saya cuba untuk buang perasaan itu. Bukannya saya hilang semangat untuk berjaya, tapi saya rasakan jarak waktu untuk saya berjaya dalam pelajaran teramat jauh. Waktu itu, mahu kiranya saya mencari jalan pintas yang boleh saya lakukan untuk membantu keluarga tapi akhirnya saya pujuk hati ini untuk teruskan belajar kerana hanya ini jalan yang saya ada untuk merealisasikan impian Allahyarham.

Saya berasal dari keluarga yang tidak begitu besar institusinya. Apabila genap umur di peringkat sekolah menengah, kami adik-beradik diasuh untuk hidup jauh daripada ibu ayah dan hidup sesama adik-beradik dan keluarga lain. Mungkin, di situ dapat dibayangkan bagaimana rapatnya hubungan kami adik-beradik. Allahyarham punya nilai ketua keluarga yang amat tinggi kerana dialah anak lelaki sulung dalam keluarga. Kami bukan dari keluarga orang senang. Jerit-perih yang dialami sesampainya kami di tahap ini, hanya Tuhan yang tahu. Impian Allahyarham untuk mengubah taraf kehidupan kami amatlah tinggi. Setiap kali kami berkumpul adik-beradik, topik yang selalu menjadi bualan kami tidak lain hanyalah impian masa depan yang terlihat amat indah sekali. Istilah 'JUTAWAN, JUTAWAN, dan JUTAWAN', bermain di bibirnya entah berapa juta kali semenjak dari dulu. Mungkin bagi sesetengah orang, istilah JUTAWAN yang menjadi impiannya itu seperti satu angan kosong yang tak berpenghujung. Tapi saya tahu, itu ikrar yang sebenar-benarnya lahir dari hati seorang abang yang ingin membantu keluarga. Setiap kali kami berbual tentang rancangan masa depan, saya yang tidak punya banyak kebolehan ini, melonjak bersemangat kerana saya pasti, kami akan berjaya suatu hari nanti.

Rancangan bisnes yang pernah Allahyarham rancangkan bersama abang Amin tetap diteruskan walau saya tahu, betapa abang Amin 'patah sayap' selepas kehilangan Allahyarham. Mereka berdua umpama 'kembar tak seiras' kerana hanya mereka berdua anak lelaki dalam keluarga kami. Saat menerima berita kematiaanya, saya nampak abang Amin adalah antara orang yang paling 'terkesan'. Ma pula, punya tahap kesihatan yang tidak begitu memuaskan. Rata-rata keluarga terdekat amat risau dengan penerimaan Ma. Namun, Tuhan itu Maha Besar. Dia benar-benar telah memberi kekuatan kepada kami sekeluarga. Sampaikan saya sendiri berasa takjub dengan kekuatan yang telah Dia berikan kepada kami. Saat melihat wajah Allahyarham dalam keadaan berkapan, hati2 kami disalurkan satu keredhaan untuk merelakan pemergiannya. Tidak ada sedikitpun rasa tersekat atau tak lepas tika menatap wajahnya buat kali terakhir. Air mata yang gugur sekadar rasa sedih kerana tidak puas hidup bersama Allahyarham.

Syukur saya dibesarkan dalam keluarga yang berpegang kepada Agama. Untuk setiap permasalahan, jalan penyelesaian hanyalah kembali kepada-Nya. Alhamdulillah kami dapat menerima semuanya dengan penuh keredhaan. Siapapun keluarga kita, atau orang yang dekat dengan kita, mereka itu tetap milik Allah. Kita tak punya hak untuk mempertikaikan hak dan kepunyaan Dia. Setiap yang hidup, pasti menemui mati. Untuk apa kita bersedih kalau sedih itu menyebabkan kita jauh daripada-Nya. Hukum Tuhan itu terlalu sempurna. Mungkin kita ingat perancangan kita adalah yang terbaik, tapi ingat perancangan Allah itulah sebaik-baik perancangan. Semoga apa yang saya sampaikan ini dapat dijadikan iktibar buat semua. Semua yang baik itu, pastinya datang daripada Allah SWT dan yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri.

Sekian wabillahi taufiq wal hidayah, wassalam…

Friday, January 30, 2009

TADBIR ILAHI

Allah SWT mengatur cara perjalanan hidup dan mati Zu dan seterusnya semua makhlukNya di alam ’misal’ lagi. Diilhamkan kepada semua, segala pergerakan melalui malaikat-malaikatNya sama ada Malil A’la atau Malais Safil penetapan dan ketentuan Allah SWT. Zu, Farah dan keluarga balik pada saat dan ketika yang sama yang akan bertemu pada tempat yang sama. Sebenarnya itu bukan pertemuan dan pertolongan secara kebetulan tapi hakikat sebenar tadbir Allah SWT. Dia melaksanakan sesuatu samada pertolongan atau apa-apa sahaja perkara beriringan mengikuti sesuatu yang akan berlaku.

Bermula dari pergerakan Zu sudah disusun Allah SWT bahawa dia mati depan Farah berkeadaan begitu, bertempat di Ciku Tiga. Manusia tidak tahu di mana tempat dia akan meninggal. Allah SWT berfirman di dalam surah Luqman ayat 34:

Ertinya: Tidak ada jiwa yang tahu di bumi manakah dia akan mati, dan sesungguhnya Allah itu mengetahui yang luas.

Supaya sampai kepada maksud dan matlamat, begitulah tadbir Ilahi yang sangat sempurna, kemas dan rapi. Tidak ada makhluk yang dapat merombaknya. Tetapi manusia tidak fahami hakikat ini dan sebab itulah keluar seribu rintihan, sejuta keluhan dan tangis penyesalan.

Allah SWT ilhamkan kepada manusia supaya campakkan Nabi Yunus AS ke dalam laut maka Allah SWT ilhamkan kepada ikan untuk menelan Nabi Yunus AS dan muntahkan dia. Setelah sekian lama berada dalam perut ikan itu akhirnya disimbah ombak dan tersadai di pantai. Untuk menyelamatkan Nabi Yunus AS itu, Allah SWT tumbuhkan pokok untuk berteduh dan berlindung dari hujan dan panas. Sesudah itu Nabi Yunus bangun kembali menegakkan syiar Allah dengan lebih kuat dan sempurna hingga berjaya.

Allah SWT berikan mimpi yang menakutkan kepada Firaun iaitu dia akan kehilangan kuasanya di bumi. Maka Firaun bertindak membunuh anak-anak lelaki yang lahir dan juga menghalang suami isteri bresama agar isteri tidak mengandung. Tetapi Allah SWT lebih bijak daripada Firaun, bapa Nabi Musa terlepas maka lahirlah anak bernama MUSA AS. Allah SWT wahyukan kepadanya supaya bayi itu dihanyutkan ke sungai dan didayung oleh malaikat hingga sampai ke tangan Firaun dan tinggal bersama-sama Firaun di istana. Akhir sekali jatuhlah kerajaan Firaun di tangan seorang wanita beriman bernama Asiah (isteri Firaun sendiri) kesan dari didikan dan pengajaran Nabi Musa AS.

Nabi Allah Yusuf As diilhamkan kepada saudaranya supaya membuangnya ke dalam perigi dan diilhamkan kepada unta dahaga dan dilihamkan kepada tuannya mencari air untuk untanya yang dahaga itu. Jumpa perigi dan didapati ada budak dalam telaga itu lalu diambilnya dan jual kepada raja. Membesarlah Yusuf di istana dan dapat mempelajari secara tidak langsung selok-belok ilmu pemerintahan. Pertemuan ini bukanlah secara kebetulan tetapi ia adalah susunan dan tadbir Ilahi yang tersusun rapi supaya sampai kepada maksud. Jadi semua yang berlaku ada hikamtnya dalam pentadbiran Allah SWT yang tersembunyi dan sukar difahami oleh kebanyakan manusia kecuali orang yang diberi faham oleh Allah SWT.

Oleh itu kita sebagai makhlukNya mesti redha di atas tiap-tiap apa yang berlakuy dan kita mesti sentiasa berfikir sepanjang masa agar sama-sama mendapat keredhaan daripadaNya. Ini juga termasuk dalam bab zikir fikir. Samada mengikut nisbah manusia, rupa baik atau rupa buruk tetapi hakikatnya semua adalah baik di sisi Allah SWT. Dari sini maka lahirlah dari hati kita kesyukuran di atas setiap apa yang berlaku. Sebab itulah Abah selalu berdoa dengan doa ini:

Ertinya: Tuhan, jadikanlah aku untuk engkau sebagai orang yang bersyukur, untuk engkau sebagai orang yang mempunyai peringatan, gerun kepadaMu, patuh kepadaMu, tunduk kepadaMu, banyak mengeluh kepadaMu, dan kembali kepadaMu.

Bila kita meniti di atas segala peristiwa satu persatu, maka ternyatalah bagi kita hikmat mendalam yang juga merupakan suatu zikrullah. Oleh itu, apa-apa yang berlaku ke atas diri kita dan masyarakat seluruhnya tidak perlu merasa kecewa dan hilang akal. Apabila seseorang tegak di atas cara tadbir Allah SWT, maka Allah SWT akan memberi balasan baik atau pahala yang tidak kurang besarnya.

Jikalau Nabi Allah Yusuf AS menjadi tanda bagi ahli yang ingin berfikir, maka Zu tidak kurang juga adalah sebahagian cabang terdekat bagi masa kini untuk menjadi bahan renungan dan fikiran bagi ahli-ahli yang ingin menuju kepada keredhaan Allah SWT di atas peristiwa hidup matinya.

Perhatikan ayat 7 dalam surah Yusuf:

Ertinya: Sesungguhnya ada tentang Yusuf dan saudara-saudaranya beberapa tanda bagi orang yang ingin bertanya.

MANFAAT LAIN KESAN DARI KEMATIANNYA

Limpahan rahmat dan pancaran cahaya Ilahi daripada Allah SWT terpantul kepada makhluknya. Perancangan Allah SWT ini lahir dari alam malakut dengan turunnya malaikat ke alam bumi untuk manusia-manusia tertentu termasuk Zu dan kami sekeluarga.

Dari hasil dan kesan kejadian ini dicurahkan rahmat dan dibukakan pintu rezeki mencurah-curah daripada Allah SWT dibawa oleh malaikat. Ia dapat mewujudkan sebuah bangsal untuk dijadikan sumber pintu rezeki bagi kehidupan dunia ini. Inilah rahsia pengorbanan Zu yang terkorban untuk keluarga dan orang ramai, khasnya untuk Amin adiknya. Kalau tidak, rancangan tersebut tidak akan dapat dibangunkan di waktu terdekat ini.

Sebenarnya rancangan ini (rancangan ternakan cacing yang diusahakan Amin sekarang) datang daripada Zu dan diambil alih oleh Aminul Furqan. Ertinya kejayaan ini adalah kejayaan Zu bersama, sekalipun Zu tidak sempat melihatnya. Kejayaan di dunia fana ini, di akhirat nantilah akan lahir segala-galanya. Dia juga tidak ketinggalan menerima ganjaran daripada Allah SWT sepanjang masa.

Beginilah peraturan dan pentadbiran Allah SWT, kalau tidak direnung dan difikir nescaya tidak akan lahir segala rahsia-rahsia Allah SWT untuk ketinggian manusia di dunia ini.

WABILLAHI TAUFIQ WALHIDAYAH

SELAMAT MERENUNG

DAN

SELAMAT BERFIKIR


~WASSALAM~

RAHSIA DAN HIKMAT KEMATIAN ZU

Abah ingin memberi gambaran atas kematian Zu demi untuk menjadi iktibar dan tanda bagi anak-anak yang ingin berfikir, seterusnya umat Islam seluruhnya.

Zu merupakan sepohon pokok yang lengkap dengan batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buah yang menarik lagi menghijau. Di tengah-tengah kehijauan itu gugurlah sehelai daun muda di antara daun-daun tersebut.

Sekalipun daun muda itu tidak sempat sepenuhnya melambai-lambai serta menyedut udara dan menerima cahaya matahari sepenuhnya di dunia ini tetapi ia tetap mendapat kebahagiaan lebih dari lambaian dunia fana ini. Daun muda yang gugur itu samada digigit binatang serangga atau tertimpa sesuatu yang lain atau sebagainya.

Daun yang gugur itu sebenarnya menjadi penawar yang amat mujarab dan baja yang baik untuk pokok tersebut. Baja dan penawar akan disedut oleh akar pokok lalu disalur ke dahan-dahan, ranting-ranting dan daun-daun yang bakal hidup menghijau. Hasil sedutan itu akan mengeluarkan bunga dan buah yang memberi faedah kepada tuannya dan orang ramai. Sedangkan batang pokok, dahan, ranting, daun, bunga dan buah tidak tahu menahu hal ini. Tidak nampak rahsia baja penawar yang tersembunyi dari daun muda yang gugur itu, sebab itulah anggota pokok tidak tahu bersyukur dan tidak tahu menilai terhadap daun muda yang gugur untuknya itu.

Daun muda yang gugur itu suatu pengorbanan yang amat besar nilainya untuk sepohon pokok yang penuh bahagia.

Jika hendak dibandingkan orang yang menerima pengorbanan orang lain dengan orang yang berkorban kerananya, adalah lebih besar nilainya orang yang berkorban itu berbanding orang yang menerima pengorbanan.

Sabda Nabi SAW :

Ertinya: Tangan yang di atas (yang memberi) adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).

Demikianlah kematian anak muda ini Allah korbankan demi untuk menjadi sebagai baja dan penawar untuk menyuburkan, menyedarkan dan menguatkan semua anggota masyarakat supaya masyarakat lebih mengambil manfaat daripadanya, yang mana erti korbannya itu memang tersembunyi dan mesti dijelaskan untuk umat manusia.

Kematian merupakan ketinggian nilai di sisi Allah SWT kerana kesayangannya di sisi Allah melebihi segala-galanya maka Allah mengambilnya di usia muda dari alam dunia fana ini.

Allah SWT memperlihatkan tanda pada Abah iaitu malam hari dikebumikannya, Abah turun tangga rumah (tangga dapur)terlihat ke langit nampak bulan dikelilingi cahaya merah besar. Cahaya merah mengikut pandangan mata kira-kira sedepa mengelilingi bulan. Ini adalah suatu hikmat tersembunyi. Pada waktu itu juga Abah panggil Amin untuk melihat bulan tersebut.

Ketika berada di Papar Sabah dulu, dalam satu bisyarah mimpi terdengar satu suara berbunyi :

Ertinya: Inilah hikmat Tuhanku.

Bisyarah ini rupanya ada kaitan dengan peristiwa Zu dan kematiannya, dan seharusnya setiap orang mesti ingat bahawa setiap yang berlaku mesti ada hikmatnya. Hikmat inilah yang menjadi pengajaran dan berguna untuk kita yang akan meneruskan hidup yang masih panjang.

Allah SWT berfirman dalam surah Mulk ayat 2:

Ertinya: (Allah) yang jadikan mati dan hidup untuk memberi percubaan (ujian) kepada kamu, siapakah dari kamu yang lebih bagus amalannya Dia Maha perkasa, Maha pengampun.

Jelas dari ayat tersebut Allah SWT jadikan hidup dan mati bukan seperti kata-kata manusia : ’Itu perkara biasa’ sebenarnya Allah SWT jadikan hidup dan mati itu adalah untuk ketinggian manusia bagi menuju kepada suatu peringkat yang lebih tinggi, kepada mereka yang masih hidup untuk mengisi pengajaran dari hasil peninggalan orang yang telah pergi agarmanusia dapat menuju kepada ketinggian mengikut keredhaan Allah SWT yang akan mendapat balasan setimpal dengan amalannya di akhirat nanti. Kematian kita pula akan menjadi iktibar dan pengajaran kepada orang lain di belakang kita nanti.

Coretan Zu...

-IMPIANAZUE- 13/06/2006

Ya Allah ya Tuhanku, pertama sekali aku bersyukur kepadaMu. Aku bersyukur kerana Aku telah dilahirkan sebagai seorang Islam, aku memohon perlindungan daripadaMu supaya agama Islam ini kekal dalam diri ini. Sebagaimana aku dilahirkan sebagai seorang Islam. Aku juga ingin hidup sebagai seorang Islam yang benar-benar Islam dan bukan pada nama sahaja. Aku juga mengharap bila mana penghujung kehidupan aku juga beriman kepadaMu sebagaimana aku dilahirkan sebagai Islam. Hidup aku bersama Islam dan akhir juga bersama Islam. Aku juga memohon kepadaMu ya Allah, hal ini juga berlaku kepada semua ahli keluargaku Ma, Abah, Kak Tina, Kak Siti, Amin dan Adik Sha serta anak cucuku kelak. Aku memohon kepadaMu ya Allah agar kami dapat dipertemukan semula di SyurgaMu ya Allah sebagaimana yang telah dijanjikan olehMu ya Allah kepada mereka-mereka yang beriman dan juga beramal soleh. Diharap aku fan kami semua dapat bertemu semula berserta Abang yang telah menanti kami di sana.

Ya Allah, ya Tuhanku, aku hanyalah insan yang kerdil. Kau beri berilah taufiq dan hidayah yang berkekalan kepada daku dan kami semua. Kau jauhilah kami dari perkara-perkara yang melaghakan, ksu jauhi kami semua dari segala pintu-pintu kemaksiatan yang mengundang kepada kecelakaan. Kau peliharalah kami semua dari melakukan sebarang dosa samada besar ataupun kecil. Ya Allah ya Tuhanku, jauhilah kami semua daripada ujian-ujian yang berat yang mana kami tak mampu menanggung dengan daya upaya kami sebagaimana ujian yang berat telah kau uji kepada umat-umat yang terdahulu. Aku dan kami semua tak mampu menahan semua itu melainkan pertolonganMu yang Maha Berkuasa ya Allah. Ya Allah, kau permudahkanlah segala urusan kami samada di dunia dan di akhirat. Segala urusan keduniaan kau permudahkanlah ya Allah dan di akhirat sama. Bagi urusan dunia kau datangkanlah kemudahan-kemudahan dari sesuatu yang tak disangka melainkan kuasaMu ya Allah.

Ya Allah ya Tuhanku, aku mempunyai terlalu banyak impian dalam kehidupan ya Allah. Aku memohon kau capaikanlah impian-impian aku dengan mudah dalam suasana yang tenang, akan aku kongsi segala kemenanganku kepada umatMu ya Allah. Buat tempoh yang paling terdekat, impian aku hanyalah untuk cemerlang dalam dunia akademik. Walaupun aku lemah dalam pembelajaran, aku tahu semua itu tak diperoleh dengan senang. Ya Allah, aku berharap aku dapat berkongsi semua ilmu-ilmu yang aku ada dengan menjadi seorang pensyarah. Untuk mencapai tahap itu aku hendaklah mempunyai segulung ijazah sebelum pergi lebih jauh. Oleh itu, kau permudahkanlah aku untuk mencapai semua ini. Matlamat aku sekarang biarlah aku dapat menamatkan pengajian ijazah undang-undang ini dengan kedua kelas keatas. Walaubagaimanapun, aku berharap dapat habis dengan masa yang ditetapkan dan tak mahu lagi jatuh di lubang yang sama. Aku telah banyak melakukan kesilapan lalu. Ya Allah, aku hanya berusaha, selebihnya di tanganMu ya Allah. Kau beri ilham dalam menjawab soalan, kau tepatkan pemikiranku semasa menjawab soalan, kau bukakan hati pensyarah-pensyarahku, jauhilah aku dari kecuaian dan kesilapan dalam menjawab soalan. Ya Allah, walaupun begitu, aku tetap hajat untuk meraih dua anugerah Dekan sepanjang pengajian aku, ya Allah. Ya Allah kau makbulkan doa aku ini. Ya Allah tenangkan hatiku di masa dan sebelum peperiksaan. Sihatkanlah tubuh badan serta aqal fikiranku semasa dan sebelum peperiksaan. Begitu jugs kehidupan harian, sihatkan tubuh badan, akal fikiranku. Aku jua memohon kepada Mu ya Allah, permohonan ini jua untuk adik-adikku. Cemerlangkan adik Sha, cemerlangkan Amin dan kakak-kakakku.

Ya Allah, khas buat kedua ibu bapaku, panjangkanlah umur mereka, sihatkanlah tubuh badan, aqal fikiran mereka. Terutama Mama. Sihatkanlah Mama daripada sebarang penyakit-penyakit kronik yang dihidapinya sekarang. Ya Allah, aku tahu Abah mempunyai pendirian yang tegas. Aku tahu ketegasannya itu sangat baik, tapi aku mohon kepadaMu ya Allah kau lembuatkan hati Abah dalam semua perkara. Kau bukakanlah hatinya untuk menerima pendapat-pendapat yang diutarakan. Ya Allah, panjangkanlah umur mereka, dan bila mana kau panjangkan umur mereka, sihatkan mereka. Aku sangat-sangat berharap mereka dapat melihat hasil susah payah mereka mendidik kami semua menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Berilah mereka peluang untuk melihat sendiri kejayaan anak cucu mereka dengan mata sendiri. Ya Allah, aku memohon kepada Kau berilah kejayaan pada waktu sesegera mungkin kerana fitrah manusia yang hidup pasti mati. Berilah kesempatan mereka melihat dan merasai kesenangan anak, menantu dan cucu-cucu meereka. Aku tahu, Mama dan Abah tak ada harta melainkan anak-anak yang soleh dan solehah. Jadikanlah kami semua anak yang sangat bertanggungjawab kepada kedua ibu bapa.

Ya Allah ya Tuhanku, selain Mama dan Abah, aku juga berharap dapat membalas jasa orang yang turut sama membentuk kami semua menjadi insan yang bermoral dan berakhlaq. Ya Allah, sihatkan Ayah Mat dan Cik Noh. Aku tak tahu bagaimana nak membalas jasa baik mereka. Mereka berdua terlalu baik untuk kami semua. Ya Allah, kau berilah kejayaan dan kesenangna untuk kami semua membalas jasa-jasa orang yang telah banyak berjasa kepada kami semua. Mak-mak saudara dan juga pak-pak saudara.

Ya Allah, berilah daku dan kami semua kejayaan dan kesenangan. Kau bukalah pintu-pintu rezeki meluas-luasnya. Kau limpah ruahkanlah rezeki kepada kami semua. Ya Allah aku memohon kepadaMu, sekiranya Kau beri rezekiMu kepada kami, jauhkanlah sifat-sifat bakhil, tamak, haloba, kedekut, zalim dan sifat-sifat buruk lain. Sebaliknya, semakin banyak rezeki semakin kami bersyukur, semakin dekat denganMu, semakin tunduk kepadaMu ya Allah. Ya Allah, kau berilah kekayaan kepadaku pada usia yang muda, akan ku guna ke jalan yang diredhai olehMu ya Allah. Kau berilah kesenangan di usia muda lagi ya Allah kepadaku dan aku memohon agar ia berkekalan hingga ke akhir hayatku dan digunakan pada Haqq. Ya Allah, capaikanlah cita-citaku untuk menjadi seperti Abdul Rahman bin ’Auf, aku ingin menjadi seorang jutawan yang beriman serta berilmu pada usia 30 tahun. Kau perkenankanlah impian aku ya Allah. Ya Allah, sekiranya Kau memberi semua ini kepadaku, jauhilah aku seperti Qarun dan Firaun. Harta dan kekuasaan boleh melalaikan manusia. Istiqamahkanlah hatiku bersama Islam. Kau berilah lorong-lora\ong kekayaan kepadaku yang mungkin aku sendiri tidak menyangka akan ia kerana aku terlalu kecil, aku hanya mampu pada kadar yang kecil sahaja ya Allah. Ya Allah, kau perkenankanlah doa-doa dan impian aku semoga dapat ku gunakan untuk kebaikan umat sejagat. Aku ingin bersaing dengan bangsa dan agama yang menentang Islam. Adalah baik kekayaan menjadi harta pinjaman Allah kepada umat Islam. Ya Allah, sekiranya aku kaya, Kau jangan lalailan aku dengan hal keduniaan, jangan lupakan bahawa harta itu hanya pinjaman, harta-harta itu milik Allah S.W.T. milikMu ya Allah.

Ya Allah di samping menjadi seorang pensyarah atau jutawan, aku memerlukan seseorang yang menjadi tunjang atau tulang belakang kepada kejayaan kehidupanku. Kau kurniakanlah kepadaku seorang isteri atau seorang teman yang terbaik untuk aku dan keluargaku di dunia dan akhirat sama. Teman yang mana aku dapat menerima dia seadanya dan dia dapat menerima aku seadanya. Aku dapat menerima keluarganya, keluarganya juga dapat menerima aku, keluarga dia dan keluarga aku juga saling dapat menerima. Ya Allah, semoga aku dipertemukan dengan insan yang mampu untuk menjadi teman, isteri, ibu yang baik di dunia dan akhirat menjadi bidadariku kelak. Aku juga memohon kepadaMu ya Allah agar aku mampu menjadi seorang teman, suami dan bapa yang baik. Ya Allah ya Tuhanku. Kalaulah dia insan itu, kau dekatkanlah dan permudahkanlah. Kalau bukan, kau jauhkanlah antara kami. Aku tak mahu terlena dibuai mimpi-mimpi palsu.

Ya Allah ya Tuhanku, bagi adik-beradikku, kak Tina sihatkanlah dia. Semoga dia mendapat keluarga yang bahagia. Kembalilah seperti dulu. Kak Siti, semoga dikurniakan cahaya mata dan mendapat keluarga bahagia. Amin pula semoga Allah membuka hatinya. Janganlah biarkan dia dibuai dengan perangai usia muda. Biarkanlah dia dapat melihat kedudukan yang sebenar. Matangkanlah dia dalam mengurus kehidupannya. Adik Sha, semoga cemerlang dalam pelajaran, pekerjaan dan mendapat teman yang terbaik untuk dirinya dan keluarga. Jauhikanlah kami perkara-perkara berdarah seperti kemalangan, kecelakaan, kebakran dan perkara-perkara aib seperti menjadi mangsa fitnah, menjadi mangsa keadaan, menjadi mangsa penindasan, penipuan dan sebagainya.

Ya Allah ya Tuhanku, aku memohon kepadaMu, sekiranya aku mencapai atau Kau mengkabul semua doa-doa dan impian aku, aku memohon kepadaMu jauhikanlah sifat riya’, takabbur, ujub, bongkak, sombong dan sifat-sifat jahat lain. Sebaliknya, semakin banyak nikmat Kau beri semakin tunduk, tawaddu’, dan kurniakanlah daku sifat-sifat baik penyabar, bijaksana, adil dan sifat-sifat baik lain. Kau jauhilah aku sig\fat-sifat buruk seperti penipu, zalim, cuai, ikut perasaan dan lain-lain lagi. Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar kau percepatkanlah perkenan dan mengkabul doa-doaku. Dan akhir sekali, aku ingin menjadi seorang insan, mukmin yang berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat kelak jua berjaya di samping orang-orang yang soleh dan dapat masuk ke SyurgaMu, Syurga Firdaus! Di samping kau tenangkanlah juwaku bila mana menghadapi segala masalah di dunia ini.

Semoga tercapai
-Zumratullah-
06.40 pm
13/08/2006

~Tafsir dibawah ini terlekat di dinding bilik Zu di UIA~

MENJAWAB PERSOALAN UJIAN

KENAPA AKU DIUJI?

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” –surah Al-Ankabut ayat 2-3


KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?

“Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” –surah Al-Baqarah ayat 216


KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” –surah Al-Baqarah ayat 286


RASA TERTEKAN?

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman” –surah Ali ‘Imran ayat 139


BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung” –surah Ali ‘Imran ayat 200


APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…” –surah At-Taubah ayat 111


KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

“Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy (singgahsana) yang agung.” –surah At-Taubah ayat 129


AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!

“…dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” –surah Yusuf ayat 12

.SELEPAS PENGKEBUMIAN DAN MIMPI BISYARAH

Kenapa Abah kaitkan peristiwa kematian Zu dengan ayat-ayat Al-quran dan hadis Nabi SAW? Ya memang benar kerana kita manusia yang diciptakan Allah SWT tidak terputus berada dalam tadbir Allah SWT sepanjang masa. Apa yang berlaku ke atas Zu supaya anak-anak berfikir cara pentadbiran Allah SWT samada dalam alam nyata atau alam ghaib.

Selepas sahaja pengkebumiannya Allah SWT tunjukkan peristiwa menakjubkan dan gambaran yang sukar didapati dan difahami oleh kebanyakan manusia biasa kecuali insan yang diberikan Allah SWT petunjuk dan hidayahNya.

PERISTIWA:

1. Kira-kira jam 3.00 petang hari dan tanggal kematiannya, hari tersebut inilah saat terakhir riwayatnya di aats bumi dunia yang fana ini. Cuaca hari itu matahari menyuluh bumi amat panas terik sekali suasananya, yang turun dalam liang kubur waktu itu Aminul furqan (adik Zu), Nuem dan Halim (penggali kubur). Hampir siap kebumi hujan turun renyai-renyai dan cuaca menjadi sejuk.

2. Pada malam hari pengkebumiannya, Zabidah (adik Abah) mimpi berjumpa Zu berpakaian jubah putih dan senyum kepadanya.

3. Pada malam hari pengkebumiannya, Abah berada di antara tidur dan jaga. Allah membuka hijab melihatkan suatu tempat yang amat luas buminya berpasir keperak-perakan (Contoh seperti pemandangan di lapangan terbang di waktu malam yang dihiasi dengan cahaya lampu keluar dari celah –celah rumput). Begitulah keadaan tersebut, lampu-lampu mengeluarkan sinaran cahaya berkilau-kilauan di atas permukaan bumi berpasir keperak-perakan itu terdapat sedikit-sedikit macam kabus asap nipis bergerak dengan cantiknya. Terdapat juga bangunan besar tidak ternilai di sekitarnya ada air berkocak luas terbentang dan kolam luas tidak terhingga.

Abah berjalan bermula dai permulaan bangunan tersebut. Di sebelah belakang sejauh perjalanan tidak juga sampai ke penghujung bangunan itu dan kawasan itu luas tidak bertepi. Terlihat seekor burung putih besar anggaran sayapnya satu depa kanan dan satu depa kiri sedang mandi dalam kolam bersama burung-burung kecil yang lain.

Pada malam kedua, peristiwa ini berlaku lagi lebih kurang sama dengan malam pertama. Terdengar suara bisikan di hati inilah tempat tinggal Zu. Kemudian dalam saat itu juga Abah pegang dua buah payung besar terbuka lebar (tafsiran: orang ramai akan ikut berteduh di bawah naungan payung ini).

4. Lebih kurang seminggu kemudian, Abah bermimpi jumpa Zu. Zu cakap pada Abah katanya, ”Zu tidak mati”.

Tafsiran ini menepati ayat Al-quran surah Ali Imran ayat 169:

Ertinya: Dan janganlah engkau sangka orang-orang yang terbunuh di jalan Allah (fi sabilillah) itu mati sebenarnya mereka hidup di sisi Allah dan mereka diberi rezeki.

5. Minggu ketiga Abah mimpi lagi. Mimpi melihat Zu berpakaian hebat berbaju putih dan berkaca mata hitam seperti seorang pegawai besar.

Abah selalu berdoa selepas sembahyang, doanya:

Ertinya: Wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan hebatkanlah kami di dunia dan di akhirat.

Untuk perhatian anak-anak, doa ini pun Abah dapat dalam mimpi.

Allah SWT mengqabuli doa yang dibaca yang mana Zu adalah salah seorang anak kehebatan di di akhirat.

6. Dalam minggu ketiga juga Amin bermimpi. Kain kapan Zu terbuka dan dapat melihat wajahnya. Zu cakap kepada Amin, “Zu tidak mati“.

Mimpi Amin adalah sama dengan mimpi Abah, boleh rujuk semula ayat Quran surah Ali Imran ayat 169.

7. Watik (anak saudara Abah) pula bermimpi, Zu berkata kepadanya yang dia tidak mati tetapi hanya koma.

8. Hari Selasa, 18.11.2008 iaitu hari kelima puluh kematian Zu, Abah terjaga dari tidur dan bermimpi, mimpinya: ”Abah kapan Zu, kain kapan sudah sedia dibentang berwarna hijau tua. Zu berbaring di atas kain kapan itu. Mula-mula Abah tutup bahagian kepalanya nampak tidak kemas, buka semula dan tutup di dada, kerana ingat di hati nak ciumnya sekejap lagi. Ada seorang perempuan yang tidak dikenali tolong jolok-jolokkan kain kapan di bawah belakang. Bila Abah sengetkan sikit badan Zu, Zu sendiri yang ikut sengetkan badan. Abah berkata dalam hati, Zu hidup. Kemudian Zu bangkit dan duduk, Zu pun bangkit berdiri, rupanya bersih (seperti muka anak teruna yang baru belasan tahun, tidak berjanggut, tidak bermisai dan tidak berjambang). Lebih tinggi sedikit daripada Abah lebih kurang satu hasta. Abah berkata, “Orang akan terkejut Zu hidup“ Abah bertanya kepadanya, “Kenalkah?“ (Abah tunjuk jari kepada Abah sendiri) Jawab Zu, “Abah“ Abah kata lagi, “Sayanglah Abah (cium), Zu pun terus peluk dan sayang Abah, Abah pun balas menciumnya. Abah tanya lagi, “Sihat? Tak sakit?“ Jawabnya, “Sihat, tak sakit, tak apa-apa“.

Di waktu itu satu penjuru lebih kurang lima belas kaki jarak ada dua orang tapi Abah tak ingat siapa sebab samar-samar, kemudian Zu baring di atas katil, atas kain kapan.

Wallahua’lam...

9. Malam selepas pengkebumiannya iaitu malam sabtu, Abah keluar turun di tangga dapur terlihat di langit nampak bulan terang, dikelilingi cahaya merah lebih kurang pada pandangan mata sedepa atau lebih. Manakala bulan berada di tengah-tengah bulatan cahaya. Abah panggil Amin tengok bulan pelik.

10. Khamis, 25.09.2008 bersamaan 25 Ramadhan 1429 H. Huzairi (menantu) memberi ceramah di Maktab Keningau Sabah, tajuknya MATI. Maka pada pagi keesokkan ahrinya dapat berita kematian Zu.

11. Mulai bulan Ramadhan, Abah selalu baca doa selepas sembahyang:

Ertinya: Wahai Tuhan hidupkanlah kami cara hidup ulama’ dan kumpulkanlah kami dalam kumpulan wali-wali dan masukkanlah kami ke syurga bersama-sama anbia’

12. Jumaat, 26 Ramadhan 1429 H/ 26 September 2008 M. Cikgu Nazir menceritakan di depan pagar rumahnya ada seekor musang menangis (dalam tanggapannya akan ada orang sakit atau mati). Lepas itu pada pagi itu juga Cikgu Hanifah (Adik ipar Abah-adik Ma) telefon kepadanya memberitahu bahwa Zu meninggal.

13. SMS Zu kepada Farah pada 15 September 2008 / 15 Ramadhan 1429 H, jam 2.00 pagi :

”Ayaku kena ingat walaupun Aya ada hanya seorang sahaja kekasih yang sangat-sangat sayang Aya. Saya boleh pergi tinggalkan Aya, umur kita tak tau berapa panjang. Untung nasib rezeki saya tak tau macam mana harap-harap tak adalah yang tak elok tapi ingat UJIAN Allah sentiasa ada... be prepared for something worst”.

(Aya yang disebut di atas adalah panggilan timangan bagi Farah)

13. SMS Zu kepada Farah pada 15 September 2008 / 15 Ramadhan 1429 H jam 1.06 pagi Isnin :

”Rumah kata pergi kubur kata mari”

14. Anthony (salah seorang kawan Zu di UIA) datang bersama-sama rombongannya ke rumah untuk melawat kematian Zu pada malam hari pengkebumiannya di Kampung Tanjung Chat, Kota Bharu.

Setelah mereka pulang beberapa hari kemudian, Anthony hantar SMS kepada Amin:

”Amin, ingat surah An-najm ayat 41-44:

Ayat 41:

Ertinya: Kemudian akan dibalas dia dengan pembalasan yang paling penuh (sempurna).

Ayat 42:

Ertinya: Dan sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali

Ayat 43:

Ertinya: Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan (manusia) ketawa dan menangis.

Ayat 44:

Ertinya: Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan.

Saya pun masih menangis bila terkenang Arwah. Ini tanda keberkatan yang telah Arwah bawa kepada kita semua. Amin jangan patah semangat tau-arwah kan bangga dengan Amin. So, Amin kena teruskan jihad dengan bersemangat. Please... jangan rasa terhutang budi pada kami. Tak payah segan, memang amanah muslim. Lagipun kami tak tahu bagaimana nak membalas jasa Amin sekeluarga kerana meminjamkan Arwah menjadi tauladan kami di UIA Alhamdulillah.

KEADAAN SEMASA PERISTIWA KEMALANGAN

Kereta Perdana V6 (kereta ayah Farah) yang dipandu Farah binti Marzuki terbabas dan terjunam ke dalam parit merempuh culvert dan batu besar di luar jalan raya di kilometer 38 Gua Musang-Kuala Krai.

Mami Farah yang mulanya pengsan, adalah orang yang pertama sekali tersedar. Dia memanggil-manggil anaknya yang kecil tetapi tidak bersambut hanya terdengar bunyi rengekan kecil. Keadaan waktu itu gelap gelita kerana ketiaadan lampu (kawasan ladang kelapa sawit), kemudian dia cuba memanggil Zu tetapi tidak juga menyahut.

Farah yang tersedar dan mendengar suara ibunya cuba mencari jalam keluar. Kedudukan kereta adalah dua tayar berada di tanah dan dua tayar berada di atas. Sebelah kiri kereta berada rapat dengan tanah. Farah dan dan ibunya berada sebelah kanan kereta. Farah berjaya melepaskan diri dengan memecahkan cermin kereta dengan tangan dan melompat turun untuk meminta pertolongan. Dia menuju ke jalan besar dan cuba untuk menahan kereta yang lalu namun hampir sejam dia menahan kereta, tidak ada satu kereta pun yang berani berhenti. Mungkin tanggapan orang yang lalu waktu itu, Farah mungkin orang gila, orang jahat atau juga hantu yang ingin membuat onar. Tambahan pula keadaan fizikal Farah yang boleh meragukan (tudung yang tercabut, rambut kusut masai, darah yang berjejeran). Alhamdulillah dengan pertolongan Allah SWT, ada sebuah kereta (askar) yang sudah terlajak dan undur semula dan merekalah yang menolong.

Mereka mencari adik Elyni dengan hanya menggunakan lampu telefon bimbit. Ternampaklah sedikit kepala dan sebelah tangan tersepit di balik kereta. Mereka beramai-ramai mengangkat kereta dan menyandarkan ke sebuah batu besar untuk mengeluarkan mayat adik Elyni yang tersepit. Zu pula tidak dijumpai berdekatan dengan tempat kereta. Zu tercampak keluar dari kereta sewaktu kejadian berlaku. Agak lama juga proses untuk mencari Zu dilakukan. Zu dijumpai dalam semak hutan kelapa sawit. Menurut salah seorang askar yang menolong itu, Zu masih bernyawa nyawa-nyawa ikan waktu itu. masih nampak tangannya bergerak-gerak dan diajar mengucap dalam tempoh dua tiga minit berakhirlah hayat Zu di atas riba salah seorang yang menolongnya. Dipanggil kereta ambulan untuk membawa mayat dan mangsa-mangsa kemalangan itu ke Hospital Gua Musang.

CERITA DARIPADA MARZUKI (PAPA FARAH)

Sewaktu mayat Zu berada di luar rumah mayat (di luar bangunan hospital dan disirami panas cahaya matahari pagi itu), dimintanya pihak hospital untuk mengangkatnya masuk ke dalam. Lalu mayat Zu diangkat oleh seorang lelaki yang saiz fizikalnya lebih kecil daripada Zu, katanya mayat Zu ringan.

Setelah beberapa hari dari tarikh peristiwa, ada orang telefon kepadanya (Marzuki). Orang itu memprekenalkan dirinya, berasal juga dari Kelantan dan bertugas sebagai anggota keselamatan di Sarawak, pulang bercuti di Kelantan dan ingin memulakan tugas semula di Sarawak.. Merekalah orang yang menolong dalam peristiwa kemalangan tempoh hari. Mereka tiga orang askar dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Mereka tidak pulang dengan bas, sebaliknya menyewa kereta berempat bersama pemandu. Semasa melintasi tempat kemalangan pada pagi itu, ternampak seorang perempuan menahan kereta yang mereka naiki. Pemandu buat tidak peduli (tidak berhenti), maka kata salah seorang daripada mereka (askar-askar tersebut), ”Di sini kampung saya, kawasan saya, saya tahu tak ada orang jahat, tak ada orang gila dan tak ada juga hantu. Itu memang orang betul-betul minta tolong”. Kemudianmereka menyuruh pemandu berhenti dan pusing semula kereta ke tempat tersebut dan memang ternyata benar ada orang minta pertolongan.

Maka mereka mencari mangsa-mangsa kemalangan itu dalam keadaan gelap-gelita dengan hanya menggunakan lampu telefon bimbit sahaja. Ternampaklah seorang kepala adik Elyni dan sekerat tangannya di bawah kepitan kereta di sisi sebelah bawah kereta. Kereta itu mereka angkat beramai-ramai dan disandarkan di tepi sebuah batu besar untuk mengeluarkan adik Elyni yang tersepit itu.

Seterusnya mereka mencari Zu dalam semak-samun hutan kelapa sawit. Zu tercampak keluar dari kereta dan dijumpai kira-kira dalam jarak enam meter dari tempat kereta tersadai. Pada waktu itu salah seorang daripada askar itu mendapati Zu masih hidup dan tangannya masih bergerak-gerak, diajar mengucap dalam dua tiga minit dan berakhirlah hayatnya di atas riba salah seorang askar itu.

Selepas itu mereka menghubungi ambulans untuk membawa mangsa-mangsa ke Hospital Gua Musang.

Marzuki juga mewakili pihak Abah dan dirinya sendiri mengucapkan terima kasih kepada mereka atas pertolongan itu.

Allah membalas kebaikan yang banyak kepada mereka.