KEADAAN SEBELUM PERISTIWA KEMATIAN
Nasihat
Cerita dari pensyarahnya (nama panggilan Midon), dia datang ke rumah pada 09/10/2008 kerana melawat dan mengucapkan takziah atas kematian Zu. Katanya dalam masa seminggu sebelum kematian, Zu ada pergi duduk-duduk di bilik pensyarah tetepi berdiam tidak bercakap. Bila ditanya, jawabnya duduk-duduk saja. Ramai pensyarah-pensyarah yang dia jumpa begitulah keadaanya.
Dalam seminggu itu juga Zu selalu memberi nasihat kepada kawan-kawannya tetapi tidak dipedulikan, lalu mengadu kepada saya (Midon). Kata Zu, ”Midon kalau saya cakap budak-budak ni tak mahu dengar.”
Ada sesetengah pensyarahnya yang rasa terkilan kerana tidak layan Zu pada ketika itu disebabkan sibuk dengan kerjayanya. Pensyarah-pensyarah dan kawan-kawannya ramai yang menangis atas kematiannya.
Abah nak sembahyang hajat tak jadi
            Abah selalu sembahyang hajat bila anak-anak hendak berjalan jauh sama ada pergi atau balik. Apabila Zu nak balik, ingat nak sembahyang hajat mohon keselamatan dalam perjalanan tambahan pula balik dengan Farah. Sebab banyak peristiwa, orang ramai bila bersama kekasih, tunang dan yang ingin berkahwin berlakunya perkara buruk dan Zu juga termasuk dalam golongan tersebut. Dalam keadaan sembahyang hajat yang tertangguh-tangguh itu hinggalah tidak jadi sembahyang hajat sehingga dia balik dan brelakulah kemalangan dan kematiannya.
Cerita hendak pulang
Aznan sepupu Zu yang bekerja di KL, baru beli kereta dan ada ajak Zu pulang bersamanya sebab belum cekap pandu kereta tidak seperti Zu yang sudah biasa ulang-alik pandu kereta KL-KB dan sebaliknya. Aznan cuti agak lewat hampir dengan Hari Raya manakala Zu lebih awal daripadanya. Kata Zu, ”Malas juga duduk melepak di sana baik pulang dulu boleh juga puasa di rumah (kampung).”
Zu nak balik dengan bas tak ada tiket, hubungi Farah sebab Farah balik dengan kereta bersama Papa dan Mami. Maka Zu telefon Ma dan Abah minta pandangan samada boleh atau tidak balik bersama Farah? Ma dan Abah memberi persetujuan kerana bersama keluarganya tapi kalau bersama Farah seorang tidak diizinkan. Maka Zu memberi jawapan bersetuju untuk pulang dengannya. Di saat akhir, Papa Farah tidak dapat pulang, cutinya dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Papanya harap jugalah kerana ada Zu lelaki kalau tidak disuruhnya anak lelakinya, adik Farah datang dari Pasir Mas untuk mengambilnya.
            Syahril, kawan baik Zu di UIA. Katanya Zu tak pernah pergi membeli makanan di bazaar ramadhan. Kalau berbuka puasa, biasanya hanya nasi berlaukan telur dan sayur sahaja.  Pada hari yang dia hendak pulang iaitu hari Khamis, dia beli nasi goreng dan koey teaw di bazaar ramadhan sebagai menu untuk berbuka puasa di hari itu dan dimakan hingga habis. Kata kawan-kawannya lagi, malam itu sebelum bertolak balik ke Kota Bharu dia sempat bermain mercun dan bunga berhabis-habisan. Zu minta maaf dengan semua kawan-kawannya malam tu.
            Pernah suatu hari, Zu pakai baju putih dengan seluar slack hitam. Kawan-kawannya tegur, “Hensem kau hari ni, pakai baju putih. Macam lecturer pulak.” Jawab Zu, “Aku memang suka pakai baju putih. Lepas ni aku nak pakai lagi.”
Ada kata-kata Zu yang diceritakan oleh Ustazah Ramizah (lecturer Zu yang paling rapat) yang mana benar-benar meruntun hati Ustazah Ramizah. Katanya, ”Ustazah, doakanlah saya supaya saya jadi jutawan yang beriman suatu hari nanti”. Ustazah Ramizah adalah antara orang yang paling terkesan dengan kematian Zu. Katanya, dua hari dia menangis tanpa henti teringatkan Zu.
            Malam tu, ramai kawan-kawannya terkejut kenapa Zu balik dengan Farah? Ada apa-apa ke mereka berdua ni? Ramai kawan-kawannya yang tak tahu perhubungan Zu dengan Farah. Sebelum ni pun, kalau Zu dan Farah berselisih di khalayak ramai kedua-duanya saling buat tak tahu, tak kenal dan tak tegur-menegur. Sebab itulah perhubungan mereka tak diketahui umum. 
Di sini Abah perturunkan sabda nabi SAW yang dirakam Syah Waliullah Addihlawi dalam kitabnya HUJJATULLAH ALBALIGHAH muka surat 49:
Ertinya: Apabila Allah membuat keputusan untuk seseorang hamba supaya dia mati di suatu tempat di bumi Allah, Allah jadikan untuknya hajat serta sebab ke tempat itu.
            Mereka bertiga Farah, adiknya dan Mami mula bertolak kira-kira jam 10.30 malam menuju ke Gombak untuk mengambil Zu di UIA. Kemudia mereka berempat terus menuju ke Kelantan. Ketika itu Farah memandu Perdana V6 kepunyaan Papanya dari UIA sampai ke masjid Bentong sebelum bertukar pemandu dengan Zu, Zu memandu hingga ke Shell Gua Musang. Sebelum sampai di stesen minyak mereka berhenti makan di Merapuh. Zu tidak makan apa-apa kecuali minum air suam sahaja. Mami Farah mempelawa Zu makan tapi dia enggan kerana masih kenyang makan banyak sewaktu berbuka puasa tadi katanya. Mami melihat muka Zu pucat, nampak gelisah, berjalan pun perlahan dan kerap ke tandas. Mami ada bertanya kenapa muka Zu pucat? Jawab zu, biasalah malam-malam ni, sejuk.
            Apabila tiba di stesen minyak Shell Gua Musang, isi minyak dan tukar, Farah pula yang memandu. Zu ada berkata, ‘tidur dulu deh, tidur dulu deh.’ Sambil tarik jaketnya menyelimuti hingga paras dadanya (hal ini berlainan dengan sikapnya yang tidak suka tidur sewaktu dalam perjalanan jauh) . Dari Shell di kilometer 38 anggarang setengah jam perjalanan maka kereta yang dipandu Farah terbabas dari jalan menuruni ke kawasan rendah di lading kelapa sawit dan terlanggar curlvert di tepi jalan, kereta berpusing 360 darjah sebanyak beberapa kali sebelum berhenti dengan kereta yang berkeadaan dua tayar di atas tanah dan dua tayar lagi menghala ke atas. Bahagian kanan kereta rapat dengan tanah manakala bahagian kiri berada di atas.
            Waktu sahur kira-kira jam 5.00 pagi (Jumaat)  26 September 2008/ 26 Ramadhan 1429H, Abah dan Ma pergi ambil Shahamatul Aizzak (anak bongsu) di stesen bas Kota Bharu yang baru tiba dari Perak. Dalam perjalanan pulang ke rumah kami ada berbual-bual “Kita tunggu panggilan telefon dari abang Zu nak pergi ambil dia. Entah di mana dia tunggu, Kota Bharu ke Pasir Mas(rumah Farah) ke.” Sambil makan sahur, tunggu punya tunggu tak ada telefon pun. Ini dah lewat, kalau nak dikira sepatutnya dah sampai. Kata Abah, mungkin dia singgah di rumah Farah sembahyang subuh dulu agaknya.
            Hampir subuh kira-kira jam 6.00 pagi, tiba-tiba kedengaran bunyi kereta. Seingat Abah, mungkin Zu dah sampai. Abah jenguk keluar rupanya Amin balik. Dalam hati terdetik, ‘kenapa Amin balik? Tak berjualkah pagi ni?’, dalam hati Abah, mungkin tertinggal barang dan balik untuk ambil barang agaknya. Kata Amin, dapat mesej kata Abang Zu accident. Dapat SMS dari Ki Abang Roni. Abah Tanya, Ki dapat tahu dari mana? Kata Amin, daripada cikgu Mat ayah kepada ustazah Ramizah, pensyarah Zu di UIA yang telefon ayahnya. Ma desak nak pergi tanya cikgu Mat. Abah kata, masa ni, dia masih di masjid lagi tunggu dia balik dulu.
            Tak lama lepas tu, Nor telefon Abah suruh hubungi balai polis Gua Musang. Huru-hara juga fikiran macam mana nak dapatkan nombor telefon balai polis Gua Musang. Kami, iaitu Abah, Ma, Amin dan Ijat pergi ke rumah cikgu Mat di Kampung Penambang. Bila ditanyakan hal itu, katanya masih belum jelas keadaan sebenar. Amin minta nombor telefon ustazah Ramizah dan telefon untuk bertanyakan keadaan sebenar dan bagaimana semuanya boleh  berlaku. Ustazah Ramizah pun jawab,”OK  macam ni, cuba hubungi Hospital Gua Musang dan Tanya pasal ini sebab pihak hospital tak tahu nak hantar MAYAT ke mana”
            Amin terkejut dengar perkataan MAYAT tapi Amin buat tak tahu dan tak bagitahu sesiapa pun lagi. Lepas tu kami semua, Ki, cikgu Mat, Amin dan Abah pergi ke Balai Polis Penambang untuk mengetahui hal sebenar. Semasa di pintu pagar nak masuk ke Balai Polis Penambang, Ayah Mat telefon Amin dan berkata “Abang Zu dah meninggal” Amin bagitahu Abah hal ini, walau bagaimana pun Abah dan Cikgu Mat masuk juga ke dalam Balai Polis untuk mendapat maklumat yang lebih jelas. Jumpa Yusof, ketua balai minta dia hubungi Balai Polis Gua Musang. Abah sendiri yang bercakap dengan pegawai betugas. Perbualannya lebih kurang, “Saya nak tahu tentang kemalangan di Gua Musang jam 4.00 pagi tadi. Siapa dan bagaimana sebenar?” pegawai tu tanya, “Pak cik ni siapa?” Abah jawab, “Saya ayah kepada Zumratullah.” Sambung pegawai polis tu lagi, “Sebenarnya Zumratulla meninggal dunia di tempat kejadian bersama seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun. Dua orang lagi cedera dan berada di Hospital Gua Musang. Mayatnya berada di sana. Pak cik kena datang tuntut mayat di hospital.”
            Kami pun berpisah dengan Cikgu Mat dan telefon Abang Nordin mengesahkan bahawa Zu telah meninggal. Mayatnya kena ambil di Hospital Gua Musang. Abah serah kepada Nor jadi kepala dalam urusan ini. Ijat telefon Tasnim di Perak dan Tina di Sabah. Ma yang bercakap menerangkan hal kematian Zu. Kalau ikut jadual, Tasnim nak balik cuti hari raya pada hari Juamaat 26/9/08 bertolak pukul 12.00 tengah hari, oleh sebab peristiwa tersebut maka terus bertolak pagi itu juga.
            Manakala Tina dan Zeri pula jadual kepulangan mereka hari Jumaat juga tapi sebelah petang dan sampai di Kota Bharu pada petang Sabtu. Bila berita diterima, mereka cuba ikhtiar cari tiket waktu itu juga tetapi gagal mendapat set penerbangan berikutan musim perayaan. Kata zeri, teruskan je urusan pengkebumian dan jangan tunggu lagi.
            Kami ke Gua Musang dengan dua buah kereta Nor bersama Kak Yah, Jimi dan Ki. Manakala kereta Kob, Kob, Mat, Abah, Amin, Asri dan Mohd Nor Alamin. Mohd Amin sebagai pemandu. Sebelum bertolak kira-kira jam 8.00 pagi, Abah sembahyang dhuha dua rakaat dan berdoa minta Allah berikan kekuatan dan ketenangan.
            Dia (ayah Farah) sampai dulu di hospital. Abah bersetuju. Tak lama kemudian, ayah Farah telefon lagi sebagai ulangan minta maaf dan nak urus di hospital minta persetujuan. Sekali lagi Abah bagi persetujuan.
            Kami tiba di Hospital Gua Musang jam 10.30 pagi. Nor sampai lebih awal sedikit dari kami kerana keretanya laju mana boleh lawan. Sesampainya di Hospital Gua Musang, kami dapati Siti Tasnim dan Khairul Amir sudah berada di situ. Mereka sampai di Gua Musang kira-kira jam 9.30 pagi dari Perak.
            Kami segera ke tempat mayat dan Abah buka muka kain penutup sampai ke aras dada, menyentuh muka dan kepala melihat tempat-tempat luka. Tepi kepala di atas telinga ada luka panjang dan di mata ada lebam sedikit, kemudian Abah tutup semula.
            Sesudah itu kami menuju kepada mangsa satu lagi (adik Farah). Abah minta izin nak lihat, orang yang ada di situ (sanak-saudara Farah) bagi kebenaran. Abah buka kain dan tutup semula.
            Kemudian barulah Abah bersalam dan berkenalan dengan ayah Farah (Marzuki) serta sanak-saudaranya yang lain. Kemudian Abah diminta untuk tanda tangan surat dokumen hospital. Sambung Marzuki lagi, segala pembayaran sudah diuruskan semuanya.
            Selesai di situ kami beramai-ramai beredar pergi melawat yang cedera, Mami Farah dan Farah di wad dan berbual ringkas serta berkenalan untuk pertama kali. Sejurus kemudian kami kembali semula ke bilik mayat. Di situ, imam sudah ada sedia untuk memandikan mayat.
            Abah, Mohd Amin dan Asri beredar dari bilik mayat pergi ke Balai Polis Gua Musang untuk ambil kad pengenalan Zu. Lama juga menunggu polis yang berkenaan kerana dia bawa kad pengenalan tersebut balik ke rumahnya. Tunggu dia bawa datang setelah dipanggil semula oleh pegawai bertugas. Selesai.
            Bila balik ke bilik mayat imam sudah selesai mandi dan kapan. Abah tak sempat melihat proses mandi dan kapan, semuanya telah selesai sewaktu Abah tiba di sana. Maka upacara sembahyang jenazah dimulakan diimami oleh imam tersebut. Dimulai dengan sembahyang jenazah Zu kemudian diikuti pula oleh jenazah adik Farah. Adik Farah diangkat ke dalam kereta biasa kegunaan keluarga sebab boleh muat kerana kecil umur baru lima tahun. Manakala jenazah Zu diangkat menggunakan kereta jenazah hospital, diiringi Amin, Che Yaacob dan Mat. Kami bertolak pulang dari  hospital kira-kira jam 12.00 tengah haridan tiba di Kampung Tanjung Chat jam 2.30 petang. Sesampainya di rumah, buka muka untuk dilihat oleh semua sanak-saudara dan orang ramai sebagai penghormatan terakhir kemudian tutup semula dan sembahyang jenazah kali kedua oleh sanak-saudara, sahabat-handai dan orang kampung diimami oleh imam muda Mukim Kampung Tanjung Chat, Ustaz Nor.
            Selesai sembahyang jam 3.00 petang, terus dibawa menggunakan kereta jenazah lain untuk ke perkuburan Cik Siti Banggol di kawasan anak-beranak yang dikhaskan tempatnya.
            Jenazah Zu berada di rumah hanya lebih kurang setengah jam sahaja. Orang ramai yang turun dalam liang kubur waktu pengkebumiannya ialah Amin, Nuem dan Halim selaku salah seorang penggali kubur. Cuaca waktu itu panas terik semasa pengkebumian dilakukan, dan semasa sedang kebumi Musa suruh Abah bagitahu kepada Abang Sof baca tahlil di atas wakaf. Setelah selesai pengkebumian, hujan turun renyai-renyai menyejukkan suasana. Inilah suatu tanda dicucuri rahmat daripada Allah SWT.
            Pada malamnya tiada apa-apa yang dibuat. Malam kedua selepas itu Abah jemput orang kampung dan sanak-saudara waris arwah untuk membaca Al-quran tiga puluh juz, satu juz seorang. Setelah selesai membaca, Imam Muda Kampung Tanjung Chat, Ustaz Nor membaca doa, selesai.



No comments:
Post a Comment