About Me

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Allah's servant.

Thursday, January 29, 2009

TANDA-TANDA SEBELUM KEMATIAN

  1. Abah pernah terlintas di hati, akan meninggal salah seorang dari kalangan anak-anak yang umurnya masih muda tetapi tidak tahu siapa.
  1. Ada tergambar di fikiran Abah bahwa Zu selalu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan sebaliknya. Ada suatu hari akan berlaku musibah dan sejak akhir-akhir ini ada ura-ura nak balik kereta dengan Farah, jadi tergambar dalam fikiran Abah bahawa banyak terjadi musibah, kemalangan atau kematian yang melibatkan kekasih, tunang dan yang ingin berkahwin.
  1. Cuti 31 Ogos 2008 iaitu hari kemerdekaan Malaysia, Zu pulang bercuti ke rumah. Ketika dia sambil menyapu-nyapu kusyen kerusi di ruang tamu dapur, Abah ada berhampiran tempat itu manakala Ma di dapur. Zu berkain pelikat dan tidak berbaju, keluar kata dari mulutnya:

”Ma, Zu rasa nak mati.”

Ayat ini diulang dua kali. Ma pun kata tak baik cakap macam tu, Zu diam.

  1. Kira-kira setahun sebelum peristiwa kematian Zu, Zu pernah berkata kepada Ma, Abah masih ingat kata-katanya lebih kurang begini maksudnya:

“Ma jangan harap Zu bantu bagi duit kepada Ma sebab kita tak tahu umur kita, ada orang mati di pertengahan jalan.“

  1. Pada hari Zu nak balik berhari raya iaitu tanggal 26 September 2008 bersamaan 26 Ramadhan 1429 H. Dia bersalam dan meminta maaf dengan semua kawan-kawannya.
  1. Sebelum berlaku kematian, ada cerita dari cikgu Nazir melalui rintihan hati kepada isterinya yang berbunyi:

“Keluarga kita selalu ditimpa kematian berturut-turut setiap tahun. Mula-mula Abang, diikuti mak ayah dan bapa mertua, tetapi ustaz (Abah) belum lagi berlaku apa-apa.”

  1. Dalam bulan Ramadhan 1429 H hampir hari raya, semua anak-anak akan pulang berhari raya di Kampung Tanjung Chat mengikut tarikh masing-masing. Tiba-tiba di suatu malam Abah bermimpi semua anak-anak bergegas pulang segera. Dalam mimpi tu macam ada sesuatu berlaku kepasa anak Tina (Anak sulung Abah), samada sakit berat, atau kena culik. Dalam mimpi itu kelihatan ada orang tarik basikal kepunyaan anak-anak Tina. Rupa-rupanya bergegas pulang kerana kematian Zu.
  1. Abah pernah bermimpi, masa tidak berapa ingat samada sebelum Ramadhan atau petengahan Ramadhan, mimpinya:

”Abah melihat rupa (muka) Zu sangat putih seperti kapas”

  1. Abah pernah bermimpi, masanya dalam bulan Ramadhan 1429 H, mimpinya:

”Abah melihat mayat yang sudah sedia diakapan diangkat ke tempat yang tinggi.”

  1. Antara tahun 2004 atau 2005, Zu dan sepupu-sepupunya (Wadi, Aznan dan lain-lain) serta bapa saudaranya Che Yaacob pergi membresih kubur Ayah Ismail (Ayah kepada Abah) dan kubur waris yang lain di Tanah Perkuburan Banggol. Zu ada berkata ”di sini tempat aku (berhampiran kubur Hasyim sepupunya yang juga meninggal di usia muda. Meninggal selepas 21 hari kahwin tanpa ada apa-apa sakit. Kira-kira hampir subuh baru diketahui kerana isterinya kerja malam dan balik lewat pagi baru sedar kerana tidak pergi ambil isteinya dari tempat kerja dan dia sendiri juga tidak kerja). Sepupu Zu pun ada juga berebut berkata tempat aku di sini (tanah kubur) yang lain pun ada kata aku di sini. Zu kata, aku di sini. Kemudian dijerkah oleh Ngah (Che Yaacob) ”Kerja cepat-cepat tu tidak!” kemudian semua diam dan masing-masing menjalankan tugas pembersihan kawasan tanah tersebut.

Semasa hari pengkebumian Zu, berlaku sedikit pertelingkahan tentang di mana lokasi untuk kebumikan Zu. Bapa saudara sebelah Ma (Nordin) ada menawarkan untuk kebumi di tanah yang telah dibelinya. Manakala bapa-bapa saudara sebelah Abah nak kebumikan di Tanah Perkuburan Banggol. Ma mulanya nak minta dikebumikan di Tanah Pak Cik Nor (Nordin), namun akhirnya tetap di kebumikan di Tanah Perkuburan Banggol (tempat yang pernah Zu nyatakan akan menjadi kuburnya sewaktu membersihkan kubur dulu).

  1. Pernah suatu masa dulu, selepas peristiwa kematian Hasyim kira-kira tahun 2004 lalu, Shahamatul Aizzak pernah dilintaskan di hati dan digambarkan di fikiran (yang mana dia melihat peristiwa yang hampir sama berlaku kepada keluarganya sendiri dimana terlihat dirinya dipeluk oleh sepupunya atas kematian abangnya dan digambarkan dengan jelas orang itu adalah Zu). Namun gambaran itu tidak pernah diceritakan kepada sesiapa pun kerana dirasakan sekadar lintasan hati biasa atau dipengaruhi oleh peristiwa kematian Hasyim.
  1. Che Yaacob mimpi pada malam Jumaat hari saat kematian Zu. Dia mimpi tentang mayat.
  1. Siti Mas (adik Abah) juga ada bermimpi ’Arwah kak Nik Abang Wil bawa datang kain putih kepadanya. Siti Mas tanya untuk apa? Jawabnya untuk buat kain kapan’.
  1. Mohd saidi (adik Abah) di Kajang bermimpi pada malam itu (jumaat) ada orang bawa datang tiga keranda kepadanya.
  1. Tanggal 13 September 2008 hingga 17 September 2008, Azwadi (sepupu Zu) pergi ke UIA tidur di sana di bilik Zu untuk mengikuti kursus perkahwinan.

Mereka berdua berbual-bual melalui telefon sebelum Azwadi datang ke UIA. Kata Zu, ”Mu nak mari ke sini bawalah buah kurma dan biskut satu tin besar”. Permintaan itu ditunaikan oleh Azwadi.

Tanggal 14 September / 12 Ramadhan hari Ahad, Azwadi cerita kepada Zu dia nak pergi beli barang-barang perkahwinannya bersama tunang. Zu berkata kepadanya, ”Dalam bulan puasa pun nak jumpa tunang”. Keesokkan hari Azwadi kata kepada Zu, ”Malas nak pergi beli”. Tetapi Zu menyuruh pula Azwadi yang pergi membelinya.

Perasaan Azwadi nak jumpa Zu dan tidur bersamanya memang tersemat kuat di hatinya. padahal kalau nak tidur tempat lain banyak lagi tempatnya malahan lebih dekat dengan tempat kursus. Kalau nak diikutkan, ada kawannya mengajak tidur di rumahnya, tetapi Azwadi menolak kerana mahu tidur bersama-sama Zu di UIA tambahan pula katanya dah lama tak jumpa Zu. Semasa Azwadi tidur di UIA, selalu melihat Zu bangun sembahyang malam.

Di suatu ketika Zu ada bertanya kepada Azwadi, bila nak kahwin? Jawab Azwadi mungkin bulan sebelas kalau tak ada aral melintang. Kata Azwadi lagi, mu (Zu) kena pergi bulan sebelas nanti. Zu dengan selambanya menjawab, ”Aku tak ada waktu tu”.

Apabila Zu pergi buat selama-lamanya menuju ke alam baqa’, Azwadi berpuas hati kerana dapat menunaikan serta menyempurnakan segala kehendak dan hajat Zu pada waktu itu. rupa-rupanya dia akan pergi meninggalkan alam fana ini buat selama-lamanya.

  1. Abah ada mimpi pada malam Jumaat iaitu hari peristiwa berlaku, mimpinya:

”Orang bagi bunga melur kepada Abah”

  1. Shahamatul Aizzak telefon abang Zu dia. Masa yang tepat tidak berapa ingat tapi yang pastinya dalam bulan Ramadhan 2008 itu juga. Zu tanya dia, balik Kelantan bila? Jawab Sha, balik hari khamis malamnya. Kata Zu, dia balik hari itu juga. Kata Zu lagi, siapa yang akan sampai dulu (Sha atau Zu)? Sha kata, kita ’badi (lumba) la siapa sampai dulu. Namun, tiada sebarang respon dari Zu. Senyap tak kata apa-apa. Dua kali Sha ulang ayat yang sama sebab hairan kenapa abang Zu dia tak bagi apa-apa respon. Namun untuk kali keduanya ayat itu diulang, Zu tetap diam tidak kata apa-apa.

Selepas perbualan yang tidak berjawapan itu, Zu tanya Sha pasal laptop. Katanya, ”laptop apa khabar?” Sha jawab, ”laptop kurang sihat. Berat sangat sebab install macam-macam”. Lepas tu Zu ketawa, katanya itu la... dulu orang suruh pakai komputer tak nak.. katanya lagi, lepas ni guna la komputer dia. Dalam nada bergurau, katanya lagi ”tak malu nak barang orang. Tapi, biasa la adik mesti dapat barang khazanah dari abang kan”. Katanya lagi. Tak sangka pula kata-kata itu memberi maksud yang dia akan meninggalkan kami selama-lamanya.

  1. Dua hari sebelum kejadian, Abah dan Ma tak boleh tidur. Dalam fikiran Abah kalau tak boleh tidur biasanya akan ada keluarga terdekat yang akan meninggal atau sakit berat.
  1. Zabidah, Siti Mas dan lain-lain mak saudara Zu ada yang tak dapat tidur dan ada juga yang sangat mengantuk.
  1. Lebih kurang seminngu dari tarikh Zu nak pulang dia beli baju untuk Ma dan kirim melalui Syaril (kawan Zu di UIA) yang akan pulang ke Berangan Tumpat Kelantan. Abah, Ma, Amin dan Mat sambil pergi ke Tumpat untuk berubat singgah ke rumah Syaril dalam perjalanan pulang untuk ambil baju. Sebelum kirim Zu ada telefon Ma. Ma kata, kenapa nak kirim melalui Syaril? Bukan ke Zu pun nak balik juga raya nanti? Zu kata, biarlah, mana la tahu, kalau-kalau baju tu panjang, boleh la Ma potong. Bila baju dah diambil, Zu telefon Ma lagi tanya samada Ma berkenan atau tidak baju yang dibelinya itu. Jawab Ma, suka. Zu gembira sangat.

Ma sambung perbualan tentang nak pergi ke rumah Farah hari raya kedua atau ketiga atau macam mana? Jawab Zu, tak jadi kot. Papa Farah dah balik KL hari raya pertama lagi, katanya. Bila Abah terdengar kata-kata itu terdetik di hati dan tersoal di fikiran kenapa begitu? Macam tawar hati dan tidak mahu bunyinya.

Empat lima hari sebelum hari raya Zu kirim duit hari raya kepada Ma sebanyak dua ratus ringgit melalui Amin.

No comments:

Post a Comment