About Me

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Allah's servant.

Monday, January 19, 2009

Pertama sekali, senang saya perkenalkan diri dengan nama pena Dahan Rapuh yang bertuankan manusia biasa yang teramat lemah dan tak punya apa-apa keistimewaan di dunia fana ini. Saya, sama nilainya dengan nama pena yang diguna, punya 1001 atau lebih aspek-aspek kerapuhan dalam diri.Tidak kira dari segi iman, pembawakan diri atau lain-lain aspek yang membentuk figura sebagai manusia. Tujuan saya mewujudkan blog ini bukan atas apa-apa tujuan yang membalikkan kepentingan kepada saya, tapi sekadar satu platfom untuk berkongsi kisah hidup. Bukan bertujuan untuk bermegah, meraih publisiti ataupun menunjuk-nunjuk. Minda manusia itu kadang-kadang sempit jika tak dibuka dengan kisah-kisah yang diluar lingkung kehidupan mereka. Saya tak mengharapkan maklum balas daripada pembaca-pembaca, sebaliknya meninggalkan pembaca-pembaca sendiri untuk menilai, berfikir dan menjadikan ia iktibar dalam hidup. Kita masih punya nyawa dan masih ada ruang untuk memohon ampun kepadaNya. Kenapa tak kita gunakan waktu ini sebaiknya?

Blog ini akan diisi dengan secebis perenggan (permulaan) dan nokhtah (penamat) kisah hidup seorang insan yang pernah hidup bersama saya selama 20 tahun. sedikit coretan ringkas yang diolah oleh seorang bapa. Saya di sini hanya sebagai pengelola dan penyampai. Maaf jika barisan ayat dan kata-kata yang diguna ada canggung dengan peraturan tatabahasa ataupun kurang puitis. coretan ini bukan hasil tangan insan bergelar sasterawan atau manusia hebat yang punya gelaran prof atau doktor di pangkal namanya. Sebaliknya ia lahir dari tangan seorang ayah yang berperwatakan sederhana, punya latar belakang hidup dan pendidikan yang juga sederhana. Apa yang ingin disampaikan di sini bukan indah dan cantiknya bunga-bunga bahasa tapi sekadar melampiaskan satu kisah dalam susunan kata yang dapat difahami. Maaf juga jika dekorasi blog ini tidak cantik dan nampak terlalu polos kerana saya masih dalam tahap mencuba. Apapun, selamat membaca dan sama-samalah kita berfikir dan mengambil iktibar.

No comments:

Post a Comment