About Me

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Allah's servant.

Friday, January 30, 2009

RAHSIA DAN HIKMAT KEMATIAN ZU

Abah ingin memberi gambaran atas kematian Zu demi untuk menjadi iktibar dan tanda bagi anak-anak yang ingin berfikir, seterusnya umat Islam seluruhnya.

Zu merupakan sepohon pokok yang lengkap dengan batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buah yang menarik lagi menghijau. Di tengah-tengah kehijauan itu gugurlah sehelai daun muda di antara daun-daun tersebut.

Sekalipun daun muda itu tidak sempat sepenuhnya melambai-lambai serta menyedut udara dan menerima cahaya matahari sepenuhnya di dunia ini tetapi ia tetap mendapat kebahagiaan lebih dari lambaian dunia fana ini. Daun muda yang gugur itu samada digigit binatang serangga atau tertimpa sesuatu yang lain atau sebagainya.

Daun yang gugur itu sebenarnya menjadi penawar yang amat mujarab dan baja yang baik untuk pokok tersebut. Baja dan penawar akan disedut oleh akar pokok lalu disalur ke dahan-dahan, ranting-ranting dan daun-daun yang bakal hidup menghijau. Hasil sedutan itu akan mengeluarkan bunga dan buah yang memberi faedah kepada tuannya dan orang ramai. Sedangkan batang pokok, dahan, ranting, daun, bunga dan buah tidak tahu menahu hal ini. Tidak nampak rahsia baja penawar yang tersembunyi dari daun muda yang gugur itu, sebab itulah anggota pokok tidak tahu bersyukur dan tidak tahu menilai terhadap daun muda yang gugur untuknya itu.

Daun muda yang gugur itu suatu pengorbanan yang amat besar nilainya untuk sepohon pokok yang penuh bahagia.

Jika hendak dibandingkan orang yang menerima pengorbanan orang lain dengan orang yang berkorban kerananya, adalah lebih besar nilainya orang yang berkorban itu berbanding orang yang menerima pengorbanan.

Sabda Nabi SAW :

Ertinya: Tangan yang di atas (yang memberi) adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).

Demikianlah kematian anak muda ini Allah korbankan demi untuk menjadi sebagai baja dan penawar untuk menyuburkan, menyedarkan dan menguatkan semua anggota masyarakat supaya masyarakat lebih mengambil manfaat daripadanya, yang mana erti korbannya itu memang tersembunyi dan mesti dijelaskan untuk umat manusia.

Kematian merupakan ketinggian nilai di sisi Allah SWT kerana kesayangannya di sisi Allah melebihi segala-galanya maka Allah mengambilnya di usia muda dari alam dunia fana ini.

Allah SWT memperlihatkan tanda pada Abah iaitu malam hari dikebumikannya, Abah turun tangga rumah (tangga dapur)terlihat ke langit nampak bulan dikelilingi cahaya merah besar. Cahaya merah mengikut pandangan mata kira-kira sedepa mengelilingi bulan. Ini adalah suatu hikmat tersembunyi. Pada waktu itu juga Abah panggil Amin untuk melihat bulan tersebut.

Ketika berada di Papar Sabah dulu, dalam satu bisyarah mimpi terdengar satu suara berbunyi :

Ertinya: Inilah hikmat Tuhanku.

Bisyarah ini rupanya ada kaitan dengan peristiwa Zu dan kematiannya, dan seharusnya setiap orang mesti ingat bahawa setiap yang berlaku mesti ada hikmatnya. Hikmat inilah yang menjadi pengajaran dan berguna untuk kita yang akan meneruskan hidup yang masih panjang.

Allah SWT berfirman dalam surah Mulk ayat 2:

Ertinya: (Allah) yang jadikan mati dan hidup untuk memberi percubaan (ujian) kepada kamu, siapakah dari kamu yang lebih bagus amalannya Dia Maha perkasa, Maha pengampun.

Jelas dari ayat tersebut Allah SWT jadikan hidup dan mati bukan seperti kata-kata manusia : ’Itu perkara biasa’ sebenarnya Allah SWT jadikan hidup dan mati itu adalah untuk ketinggian manusia bagi menuju kepada suatu peringkat yang lebih tinggi, kepada mereka yang masih hidup untuk mengisi pengajaran dari hasil peninggalan orang yang telah pergi agarmanusia dapat menuju kepada ketinggian mengikut keredhaan Allah SWT yang akan mendapat balasan setimpal dengan amalannya di akhirat nanti. Kematian kita pula akan menjadi iktibar dan pengajaran kepada orang lain di belakang kita nanti.

No comments:

Post a Comment