About Me

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Allah's servant.

Friday, January 30, 2009

TADBIR ILAHI

Allah SWT mengatur cara perjalanan hidup dan mati Zu dan seterusnya semua makhlukNya di alam ’misal’ lagi. Diilhamkan kepada semua, segala pergerakan melalui malaikat-malaikatNya sama ada Malil A’la atau Malais Safil penetapan dan ketentuan Allah SWT. Zu, Farah dan keluarga balik pada saat dan ketika yang sama yang akan bertemu pada tempat yang sama. Sebenarnya itu bukan pertemuan dan pertolongan secara kebetulan tapi hakikat sebenar tadbir Allah SWT. Dia melaksanakan sesuatu samada pertolongan atau apa-apa sahaja perkara beriringan mengikuti sesuatu yang akan berlaku.

Bermula dari pergerakan Zu sudah disusun Allah SWT bahawa dia mati depan Farah berkeadaan begitu, bertempat di Ciku Tiga. Manusia tidak tahu di mana tempat dia akan meninggal. Allah SWT berfirman di dalam surah Luqman ayat 34:

Ertinya: Tidak ada jiwa yang tahu di bumi manakah dia akan mati, dan sesungguhnya Allah itu mengetahui yang luas.

Supaya sampai kepada maksud dan matlamat, begitulah tadbir Ilahi yang sangat sempurna, kemas dan rapi. Tidak ada makhluk yang dapat merombaknya. Tetapi manusia tidak fahami hakikat ini dan sebab itulah keluar seribu rintihan, sejuta keluhan dan tangis penyesalan.

Allah SWT ilhamkan kepada manusia supaya campakkan Nabi Yunus AS ke dalam laut maka Allah SWT ilhamkan kepada ikan untuk menelan Nabi Yunus AS dan muntahkan dia. Setelah sekian lama berada dalam perut ikan itu akhirnya disimbah ombak dan tersadai di pantai. Untuk menyelamatkan Nabi Yunus AS itu, Allah SWT tumbuhkan pokok untuk berteduh dan berlindung dari hujan dan panas. Sesudah itu Nabi Yunus bangun kembali menegakkan syiar Allah dengan lebih kuat dan sempurna hingga berjaya.

Allah SWT berikan mimpi yang menakutkan kepada Firaun iaitu dia akan kehilangan kuasanya di bumi. Maka Firaun bertindak membunuh anak-anak lelaki yang lahir dan juga menghalang suami isteri bresama agar isteri tidak mengandung. Tetapi Allah SWT lebih bijak daripada Firaun, bapa Nabi Musa terlepas maka lahirlah anak bernama MUSA AS. Allah SWT wahyukan kepadanya supaya bayi itu dihanyutkan ke sungai dan didayung oleh malaikat hingga sampai ke tangan Firaun dan tinggal bersama-sama Firaun di istana. Akhir sekali jatuhlah kerajaan Firaun di tangan seorang wanita beriman bernama Asiah (isteri Firaun sendiri) kesan dari didikan dan pengajaran Nabi Musa AS.

Nabi Allah Yusuf As diilhamkan kepada saudaranya supaya membuangnya ke dalam perigi dan diilhamkan kepada unta dahaga dan dilihamkan kepada tuannya mencari air untuk untanya yang dahaga itu. Jumpa perigi dan didapati ada budak dalam telaga itu lalu diambilnya dan jual kepada raja. Membesarlah Yusuf di istana dan dapat mempelajari secara tidak langsung selok-belok ilmu pemerintahan. Pertemuan ini bukanlah secara kebetulan tetapi ia adalah susunan dan tadbir Ilahi yang tersusun rapi supaya sampai kepada maksud. Jadi semua yang berlaku ada hikamtnya dalam pentadbiran Allah SWT yang tersembunyi dan sukar difahami oleh kebanyakan manusia kecuali orang yang diberi faham oleh Allah SWT.

Oleh itu kita sebagai makhlukNya mesti redha di atas tiap-tiap apa yang berlakuy dan kita mesti sentiasa berfikir sepanjang masa agar sama-sama mendapat keredhaan daripadaNya. Ini juga termasuk dalam bab zikir fikir. Samada mengikut nisbah manusia, rupa baik atau rupa buruk tetapi hakikatnya semua adalah baik di sisi Allah SWT. Dari sini maka lahirlah dari hati kita kesyukuran di atas setiap apa yang berlaku. Sebab itulah Abah selalu berdoa dengan doa ini:

Ertinya: Tuhan, jadikanlah aku untuk engkau sebagai orang yang bersyukur, untuk engkau sebagai orang yang mempunyai peringatan, gerun kepadaMu, patuh kepadaMu, tunduk kepadaMu, banyak mengeluh kepadaMu, dan kembali kepadaMu.

Bila kita meniti di atas segala peristiwa satu persatu, maka ternyatalah bagi kita hikmat mendalam yang juga merupakan suatu zikrullah. Oleh itu, apa-apa yang berlaku ke atas diri kita dan masyarakat seluruhnya tidak perlu merasa kecewa dan hilang akal. Apabila seseorang tegak di atas cara tadbir Allah SWT, maka Allah SWT akan memberi balasan baik atau pahala yang tidak kurang besarnya.

Jikalau Nabi Allah Yusuf AS menjadi tanda bagi ahli yang ingin berfikir, maka Zu tidak kurang juga adalah sebahagian cabang terdekat bagi masa kini untuk menjadi bahan renungan dan fikiran bagi ahli-ahli yang ingin menuju kepada keredhaan Allah SWT di atas peristiwa hidup matinya.

Perhatikan ayat 7 dalam surah Yusuf:

Ertinya: Sesungguhnya ada tentang Yusuf dan saudara-saudaranya beberapa tanda bagi orang yang ingin bertanya.

MANFAAT LAIN KESAN DARI KEMATIANNYA

Limpahan rahmat dan pancaran cahaya Ilahi daripada Allah SWT terpantul kepada makhluknya. Perancangan Allah SWT ini lahir dari alam malakut dengan turunnya malaikat ke alam bumi untuk manusia-manusia tertentu termasuk Zu dan kami sekeluarga.

Dari hasil dan kesan kejadian ini dicurahkan rahmat dan dibukakan pintu rezeki mencurah-curah daripada Allah SWT dibawa oleh malaikat. Ia dapat mewujudkan sebuah bangsal untuk dijadikan sumber pintu rezeki bagi kehidupan dunia ini. Inilah rahsia pengorbanan Zu yang terkorban untuk keluarga dan orang ramai, khasnya untuk Amin adiknya. Kalau tidak, rancangan tersebut tidak akan dapat dibangunkan di waktu terdekat ini.

Sebenarnya rancangan ini (rancangan ternakan cacing yang diusahakan Amin sekarang) datang daripada Zu dan diambil alih oleh Aminul Furqan. Ertinya kejayaan ini adalah kejayaan Zu bersama, sekalipun Zu tidak sempat melihatnya. Kejayaan di dunia fana ini, di akhirat nantilah akan lahir segala-galanya. Dia juga tidak ketinggalan menerima ganjaran daripada Allah SWT sepanjang masa.

Beginilah peraturan dan pentadbiran Allah SWT, kalau tidak direnung dan difikir nescaya tidak akan lahir segala rahsia-rahsia Allah SWT untuk ketinggian manusia di dunia ini.

WABILLAHI TAUFIQ WALHIDAYAH

SELAMAT MERENUNG

DAN

SELAMAT BERFIKIR


~WASSALAM~

No comments:

Post a Comment