About Me

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Allah's servant.

Thursday, February 5, 2009

Alhamdulillah, apa yang ingin saya sampaikan harap sampai ke lubuk hati pembaca. Hidup kita sering dihimpun seribu satu macam perkara, tambah2 lagi sebagai pelajar. Tidak dapat dinafikan tanggungjawab dan komitmen yang perlu kita pikul setiap hari membuatkan kita 'agak jauh' daripada Pencipta kita yang esa. Saya, hanyalah manusia hina yang punya banyak kelemahan. Bukan ingin berdiri selaku 'penasihat' atau apa2. Tapi sekadar berkongsi apa yang pernah saya alami. Kehilangan orang yang pernah hidup bersama kita bukanlah satu perkara yang mudah. Ia bukanlah perkara yang pernah kita dambakan dan gambarkan selama ini. Kejutan yang berlaku kurang dari sekelip mata.

Jatuhnya saya semenjak berita kematiaanya, hanya Tuhan yang tahu. Orang di sekeliling ada yang bersimpati, ada yang cuba menghiburkan hati, saya tahu. Terima kasih buat semua. Namun, ada tika tawa dan senyum yang diukir terasa amat pahit dan pedih walau tak terlihat di mata. Mereka yang melihat tawa itu ada yang berasa lega, sekurang-kurangnya saya tidak begitu ‘menyeksa’ diri sendiri. Ye lah, untuk apa kita libatkan orang lain untuk sesuatu yang mereka tidak perlu? Semangat dan impian yang sama2 kami pintal dulu, runtuh berkecai. Semangat saya untuk teruskan belajar ada sedikit tergugat namun saya cuba untuk buang perasaan itu. Bukannya saya hilang semangat untuk berjaya, tapi saya rasakan jarak waktu untuk saya berjaya dalam pelajaran teramat jauh. Waktu itu, mahu kiranya saya mencari jalan pintas yang boleh saya lakukan untuk membantu keluarga tapi akhirnya saya pujuk hati ini untuk teruskan belajar kerana hanya ini jalan yang saya ada untuk merealisasikan impian Allahyarham.

Saya berasal dari keluarga yang tidak begitu besar institusinya. Apabila genap umur di peringkat sekolah menengah, kami adik-beradik diasuh untuk hidup jauh daripada ibu ayah dan hidup sesama adik-beradik dan keluarga lain. Mungkin, di situ dapat dibayangkan bagaimana rapatnya hubungan kami adik-beradik. Allahyarham punya nilai ketua keluarga yang amat tinggi kerana dialah anak lelaki sulung dalam keluarga. Kami bukan dari keluarga orang senang. Jerit-perih yang dialami sesampainya kami di tahap ini, hanya Tuhan yang tahu. Impian Allahyarham untuk mengubah taraf kehidupan kami amatlah tinggi. Setiap kali kami berkumpul adik-beradik, topik yang selalu menjadi bualan kami tidak lain hanyalah impian masa depan yang terlihat amat indah sekali. Istilah 'JUTAWAN, JUTAWAN, dan JUTAWAN', bermain di bibirnya entah berapa juta kali semenjak dari dulu. Mungkin bagi sesetengah orang, istilah JUTAWAN yang menjadi impiannya itu seperti satu angan kosong yang tak berpenghujung. Tapi saya tahu, itu ikrar yang sebenar-benarnya lahir dari hati seorang abang yang ingin membantu keluarga. Setiap kali kami berbual tentang rancangan masa depan, saya yang tidak punya banyak kebolehan ini, melonjak bersemangat kerana saya pasti, kami akan berjaya suatu hari nanti.

Rancangan bisnes yang pernah Allahyarham rancangkan bersama abang Amin tetap diteruskan walau saya tahu, betapa abang Amin 'patah sayap' selepas kehilangan Allahyarham. Mereka berdua umpama 'kembar tak seiras' kerana hanya mereka berdua anak lelaki dalam keluarga kami. Saat menerima berita kematiaanya, saya nampak abang Amin adalah antara orang yang paling 'terkesan'. Ma pula, punya tahap kesihatan yang tidak begitu memuaskan. Rata-rata keluarga terdekat amat risau dengan penerimaan Ma. Namun, Tuhan itu Maha Besar. Dia benar-benar telah memberi kekuatan kepada kami sekeluarga. Sampaikan saya sendiri berasa takjub dengan kekuatan yang telah Dia berikan kepada kami. Saat melihat wajah Allahyarham dalam keadaan berkapan, hati2 kami disalurkan satu keredhaan untuk merelakan pemergiannya. Tidak ada sedikitpun rasa tersekat atau tak lepas tika menatap wajahnya buat kali terakhir. Air mata yang gugur sekadar rasa sedih kerana tidak puas hidup bersama Allahyarham.

Syukur saya dibesarkan dalam keluarga yang berpegang kepada Agama. Untuk setiap permasalahan, jalan penyelesaian hanyalah kembali kepada-Nya. Alhamdulillah kami dapat menerima semuanya dengan penuh keredhaan. Siapapun keluarga kita, atau orang yang dekat dengan kita, mereka itu tetap milik Allah. Kita tak punya hak untuk mempertikaikan hak dan kepunyaan Dia. Setiap yang hidup, pasti menemui mati. Untuk apa kita bersedih kalau sedih itu menyebabkan kita jauh daripada-Nya. Hukum Tuhan itu terlalu sempurna. Mungkin kita ingat perancangan kita adalah yang terbaik, tapi ingat perancangan Allah itulah sebaik-baik perancangan. Semoga apa yang saya sampaikan ini dapat dijadikan iktibar buat semua. Semua yang baik itu, pastinya datang daripada Allah SWT dan yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri.

Sekian wabillahi taufiq wal hidayah, wassalam…

No comments:

Post a Comment